|
|
|
|
Apakah hukum
melakukan Ibadah Aqiqah dalam Islam ?
Jawapan
Hukum membuat 'kenduri'
bagi anak yang baru lahir hukumnya harus dan hukum ibadah aqiqah itu adalah Sunat Muakkad, caranya ialah :
Membuat Aqiqah dengan menyembelih seekor kambing bagi kanak-kanak
lelaki dan perempuan. Jika mampu yang afdalnya bagi kanak-kanak lelaki
dua ekor kambing dan sebaiknya disedekahkan daging kambing itu kepada
fakir miskin dan lain-lain sesudah dimasak.
1. Hukum aqiqah itu adalah sama dengan ibadah qurban iaitu Sunnat Muakkad kecuali dinazarkan menjadi wajib.
2.
Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau
pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka
bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.
3.
Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat
bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya
sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan
al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya
sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
4.
Anak zina, aqiqahnya sunnat atas ibunya kerana nafkah hidup anak zina
itu tanggungan ibunya bukan bapanya. Demikian pendapat Syaikh Ibnu
Hajar dan Syaikh Ramli, manakala Khatib Syarbini pula berpendapat,
adalah tidak sunnat bagi ibu mengaqiqahkan anak zinanya meskipun si ibu
memberi nafkah kepadanya.
5. Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing.
Diriwayatkan
daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat
agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya
sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi).
Daripada
Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan: Bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih
aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing.
(Riwayat Abu Dawud)
No comments:
Post a Comment